Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Baru saje mendapat khabar pemergian nenek kepada Mizah. Innalillahi wa inna ilaihi rooji’un. Al-fatihah buat roh allahyarhamah, moga diampunkan segala dosa, dipermudahkan segala urusan di alam- alam yang seterusnya dan ditempatkan bersama roh orang- orang beriman.
Sebak terasa.
“iye? Innalillahi wa inna ilaihi rooji’un…” mengiringi pemergian dengan al-fatihah dan sekalung doa.
Mata bergenang. Tak mampu mengucapkan apa- apa, cuba mengumpulkan kekuatan supaya sahabat terus kuat. Berdoa dalam hati supaya roommate tabah dengan kejutan ini.
Teringat kisah 3 tahun lepas, apabila Sya menerima panggilan telefon pada pukul 2 pagi. Sewaktu itu kami sedang menjalani latihan untuk persembahan pembukaan dan penutup Asean University Games, menginap pula di kolej melati di UiTM Shah Alam. Kebetulan saya waktu itu sedang bersengkang mata di hadapan laptop dan kadang- kadang termenung. Setidaknya berita itu disambut dalam keadaan yang tenang oleh Sya.
Sememangnya apabila seseirang meninggal, kita telah dihijabkan dari dua ruang yang berbeza. Yang tidak akan sesiapa dapat menentang ketentuan untuk melangkaui ruang dan alamnya, kecuali dengan izin Allah. Kadang- kadang berita sebegini sangat mengejutkan, sehinggakan kita merasa seolah- olah tidak percaya dan hilang dari dunia nyata.
Saya sendiri menghadapi perpisahan abadi dengan arwah atuk (sebelah emak) dengan terkejut. 3 hari sebelumnya saya turut bermimpi berjumpa dengan arwah atuk dalam keadaan sihat walafiat dan tersenyum gembira, berpakaian putih berseri. Saya menyambut kain putih yang dihulurkannya, manakala ibu dan ayah kelihatan terpinga- pinga. Dan sesedar dari tidur, ingatan pada atuk terbawa- bawa sehingga beberapa hari.
Kesibukan menghadapi minggu tests melengahkan hasrat saya untuk bertanya khabar dan akhirnya terlambat sudah, bila sms dari ayah mengkhabarkan pemergian menyusul mendahului. Dii dalam kuliah pagi itu saya tertunduk menahan hiba, menyembunyikan air mata. Sedikit terkilan kerana tidak dapat pulang segera, apalagi untuk menatap wajahnya buat kesekian kalinya. Dan belum sempat minggu berakhir, terus ambil tiket pada malam tersebut pulang sehelai sepinggang. Emergency leave selama seminggu, tidak mengendahkan sms dan panggilan bertalu- talu dari kawan- kawan dan pensyarah.
Entah apa tafsirannya akan mimpi tersebut. Pernah dulu terfikir, mungkin saya pula yang bakal mengikuti jejak atuk dalam masa terdekat. Hati diasuh untuk redha dan gembira. Namun hakikatnya selepas beberapa tahun, saya belum diterima untuk menghadap Allah s.w.t. Pastinya kerana terlalu banyak dosa yang ditanggung. Masih diberi kesempatan oleh Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun untuk memperbaiki diri, sehingga ke hari ini. Dan benar, untuk menjadi yang terbaik saya takkan pernah mampu. Namun untuk menjadi sebaiknya tetap diusahakan insyaAllah.
Mimpi ini tidak pernah saya ceritakan walau pada sesiapa. Sengaja didiamkan, tidak mahu mengungkit kesedihan yang bakal mengguris hati ahli keluarga dan sanak saudara, terutama sekali ibu. Pasti ibu akan merasa sedih sekali, apalagi bila sewaktu kecilnya dialah yang paling rapat dengan atuk. Kerana setelah berkeluarga, jarak yang memisahkan mereka paling ‘jauh’.
“I’m an orphan now,” katanya suatu hari.
Saya terdiam di sisinya. Ibu tersenyum dengan jenakanya sendiri, namun kesedihan jelas tergambar di raut wajahnya. Namun saya tahu ibu tabah dan menerima ketentuan takdir dengan redha. Andai ibu tidak tabah, pasti ibu tidak akan berdiri di sini. Ibu memilih untuk mengharung suka dan duka, pahit dan derita untuk melihat anak- anaknya membesar di hadapan mata. Mengenangkan jasa ibu inilah membuatkan ikrarku membara. Akan kubalas jasanya, mengusahakan apa sahaja untuk menghiasi bibirnya dengan senyuman. Moga Allah memperkenankan hasrat ini, dan moga waktu akan lebih pantas berlalu untukku… amin.

0 komen membina:
Post a Comment